·٠•●♥ Sahabat fillah rahikumullah....jazakumullah khoir (✿◠‿◠) ♥●•٠·

Pilihlah Aku Untuk Ikhlas..


Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum warah matullahi wabarakatuh...

Ikhlas itu Rahsia...
Kita memberi bukan untuk menerima
Menabur budi bukan dianggap berjasa
Tulus, putih dan murni hati kita
Memberi adalah keranaNYA jua

Tidak mengapa jika tidak dikenang
Asalkan segalanya memberi satu ketenangan
Menyebut kebaikan meragut keikhlasan
Bukan kerana kelebihan kita

Dalam samar mainan rasa
Kekadang datang jua serpihan bangga
Mengharap adanya balasan
Mendamba hadirnya kemasyhuran

Bukan itu yang diburu sejak mula
Ditagih kasih rasa di depanMU
Bila terasa segalanya daripadaMU
Rebahlah segala daripadaku yang hina

TUHAN....
Dunia ini tidak panjang
Tahun terasa detik di putaran usia
Mengharap yang abadi
Kan lenyap segala ilusi
Bantulah aku
Dalam memahami rahsia itu!


          Syukur alhamdulillah, di atas nikmat-MU yang tidak terhingga. Diri masih diberi kesempatan untuk menikmati keindahan ciptaan-MU. Sudah hampir sepurnama diri ini tidak melakarkan tinta di blog ini. Kesibukan demi kesibukan datang bertamu...kesibukan yang tidak akan pernah berakhir hingga suatu ketika sang ajal menjemputku....muhasabah diri.... Semoga diri ini dapat memanfaatkan kesempatan yg diberikan sebaik mungin, aamin...Ingin berkongsi/berbicara tentang ikhlas. 

        Apa itu IKHLAS? Sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah SAW. Rasul lalu menanyakan kepada Jibrail, malaikat penyampai wahyu ALLAH SWT. Ternyata Jibrail juga tidak tahu dan bertanya kepada ALLAH SWT. Ternyata ikhlas adalah rahsia dari sebuah rahsia. Ikhlas itu (hanya org yang melakukannya) dengan ALLAh SWT saja yang tahu, seakan-akan malaikat tidak sempat mencatat dan syaitan tidak sempat untuk menggoda org yg ikhlas, SubhanaAllah...

Orang yang sibuk melakukan kebaikan tidak akan sempat melihat kejahatan orang lain. Demikian kata-kata hikmah yang menerjah diruang fikiran...Betapa kurangnya kau melakukan kebaikan, bisik hati kpd diri sendri..

Justeru mata, telinga dan indera yang lain masih sempat melihat, menghidu dan menuturkan kejahatan orang lain. Terasa diri amat hina, ketika usia melonjak dengan begitu cepat, diri terasa masih merangkak-rangkak menyusur jalan taubat.
Betapa sekali sekala melakukan kebaikan terasa hebat bukan kepalang. Tanpa sedar riak bertandang. Terasa teringin dipamerkan segala-galanya agar dipuji dan disanjung dengan kata-kata dan anugerah manusia. Biarlah terserlah siapa aku, bisik ego diri. Padahal nilai amal yang sebegitu tidak akan menerima sebarang sekutu. Dan manusia pun yang pastinya akan memandang sinis loya dengan ‘aku’mu.

Apabila riak itu adalah tertipu  dengan kehadiran manusia, sum’ah pula terpedaya tanpa kehadiran sesiapa. Walau tanpa sesiapa di mata tetapi di hati masih mengharap-harap amal kononnya disembunyikan itu diketahui juga oleh manusia. Alangkah indah rasanya bila amal yang cuba disembunyikan itu diketahui lalu diheboh-hebohkan pula. Hebatnya dia! Begitu kata sanjung yang dijunjung. Pada ketika itu, hati pun berbunga. Aduh, sum’ah lebih dasyat tipuannya daripada riak.

Apabila terlepas diri daripada kaduanya, menanti pula musuh ketiga yang tidak kurang hebatnya...ujub! Takjub dan berasa hairan terhadap diri sendiri. Kali ini bukan pujian manusia yang terang dan tersembunyi diharapkan tetapi pujian diri sendiri. Betulkah ini aku?
Bukan mudah untuk ikhlas. Semakin dicari terasa semakin mistrei. Memang,  ikhlas rahsia dalam rahsia ALLAH. Melakukan sesuatu kebaikan bukan kerana ALLAH...itu tidak ikhlas. Meninggalkan satu kejahatan bukan kerana ALLAH...itu pun bukan ikhlas.

Kekadang begitu ikhlas hati ketika memulakan amal, tetapi sampai di pertengahan, kecundang oleh sesuatu yang selain ALLAH. Ya ALLAH, aku benar-benar pasrah. Perjuangan untuk ikhlas terlalu seru dan keliru. Bantu aku, memahami dan menangani rahsia ini.

Beribadatlah sehingga terasa penat untuk melakukan maksiat. Begitu pesan ulama’. Buatlah apa saja kebaikan sejak sebelum terbit fajar sehingga terbenam mentari. Ikhlas atau tidak jangan diperkira dulu. Jangan mengukur di garis permualaan amal. Beramallah walau hati terganggu oleh mazmumah dan ikhlas diintai oleh riak dan sum’ah. Pedulikan ujub yang menanti masa untuk menyusup. Tega dan relakan sahaja.

Teringat apa yang dipesan oleh Imam Ghazali ketika anak muridnya bertanya “Tuan, bagaimana keadaanku ketika mulutku berzikir tetapi hatiku masih lalai?” Lalu Imam yang arif dalam soal keajaiban hati itu pub berkata, “Teruskanlah berzikir walau hatimu lalai kerana sekurang-kurangnya lidahmu akan terselamat daripada berkata-kata yang kotor dan sia-sia.”
Teringat pula apa yang ditanyakan oleh Abu Hurairah kepada Nabi Muhammad SAW tentang seorang yang mengerjakan solat tetapi masih mencuri. Lalu Rasulullah menegaskan solat orang itu lambat laun akan menghilangkan tabiatnya yang buruk itu.

Jadi, jika dirimu masih melakukan kejahatan, ingatlah itu bukan alasan untuk berhenti melakukan kebaikan. Bahkan iringi perbuatan dosa itu dengan kebaikan kerana kebaikan lambat cepat akan menghapuskan kejahatan.

Diri hanya insan kerdil di lautan rahsia ikhlas yang sangat dalam. Yang terjangkau olehku hanyalah sebutir percikan ombak dipermukaannya. Namun, diri juga hamba ALLAH yang berhak untuk melalui jalan menuju-NYA ketika diri keliru, tunjukkanlah. Ketika diri lemah, perkukuhkanlah, ketika alpa, ingatkanlah.
Hanya dikau wahai ALLAH yang berhak memilih sesiapa untuk dianugerahi rahsia ikhlas itu. Padaku hanya tabir...pada-MU segala takdir. Bantulah aku meluruskan tabirku menjurus kepada takdir-MU. Pilihlah aku untuk ikhlas walau kutahu ikhlas itu sangat rahsia.

Sejenak kita renungkan..
Semoga ada ikhtibar yang kita dapat ambil bersama dalam melayari bahtera kehidupan. :)

·٠•●♥✿ Nurmujahiddah Solehah ✿♥●•٠

0 Komen tetamu yg baik :-):

Posting Komentar