·٠•●♥ Sahabat fillah rahikumullah....jazakumullah khoir (✿◠‿◠) ♥●•٠·

Wangian Kasih

Biar aku ceritakan sesuatu pada kau. Mana tahu boleh ditokok pengalaman yang sedia bertapak  pada batas riwayatmu. Kau tahu, sehingga saat ini aku nian mengasihi dirinya yang istimewa itu. Sememangnya aku tika seusiamu dulu juga mementingkan keindahan ciptaan Allah hinggakan aku alpa dengan keperluan paling bermakna dalam hidup ini.

Bahagian mana ingin kumulakan. Segala tentangnya amat manis bagiku. Mungkin saja aku hampir menggugurkan kolam mata lelakiku, entah untuk keberapa kali hanya sekadar ingin berkongsi keajaiban yang mewarnai laluanku.

Sejak ibuku meminangnya, aku kurang yakin dengan kemampuannya untuk menyerikan mahligai yang bakal  terbina. Kata itu aku hanya rela dalam paksa. Tidak kuduga, jodoh ini benar-benar meronakan keindahan yang sukar kulontarkan melalui marsum ini. Aneh bukan? Siapa dia di mataku.....

Aku bangga bila mengetahui yang dia seorang gadis yang amat memelihara kehormatan. Sehingga belum pernah mengenali seseorang lalaki pun sebelum aku! Lelaki mana sanggup menolak tuah? Tanyalah mana-mana insan lelaki yang tidak mementingkan keperawanan tulen seorang permpuan. Sungguh dayus jika mereka tidak peduli gadis yang lepas bebas pergaulan. Menafikan hak kewanitaan mereka dengan alasan mengikut peredaran zaman. Benar, aku bukan ustaz, jauh sekali Nabi. Namun sebagai lelaki, tentu kau mampu menyelami kehendak dan citarasa seorang bernama LELAKI.

Kala pertama kali bersua bersua mata, aku melihatnya ketika setelah diijab kabulkan, wajahnya sungguh tenang. Di sebalik kerudung labuh putih santunnya dipugar senyuman tenang mengucup tanganku. Dia memohon agar aku bersedia menerimanya sebagai amanah Allah. Aku membalas sentuhan ikhlasnya dan cuba untuk menjadi pelindung yang menyenangkan hatinya.

Dinihari yang sejuk aku seolah divaksin pelali terus ke bilik air bersuci dan sejurus melabuhkan dahi sujud pada Ilahi. Masih terasa usapan lembutnya yang menuang semangatku bertemu Pencipta. Mungkin berkat tekakku dibasahi segelas susu yang disediakannya sebelum tidur. Katanya ikut sunnah Rasulullah. Aku hanya menurut sedangkan sebelum ini jenama susu memang tidak pernah singgah di tekakku sejak kecil.

Seminggu ku membawanya berbulan madu sekaligus sebagai maharnya ke Tanah Haramain. Aku terkedu tika jari halusnya memotong rapi kuku tanganku, bahkan kuku kaki. Terasa dimanjakan pula! Malah pelipis dan janggutku sentiasa kemas seolah segala milikku adalah haknya juga. Kasihku mula mengakar kuat padanya. Inikah yang dikatakan Rasulullah perhiasan dunia?

Jangan terkejut  jika aku khabarkan yang aku telah meletak jawatan  mendadak sebagai peguambela mahkamah sesyen. Kepada semua kunyatakan yang aku telah digoda kebun ayah yang berekar-ekar milik arwah ayah yang terbiar. Perlu diusahakan segera. Namun yang tersirat dalam perancangan-Nya. Aku hanya mampu memuji kebesaran-Nya yang menganugerahkan aku seorang ‘penyelamat’ yang mencelikkan mata hati dan memahamkan aku tentang kejadian insan di sisi Tuhan.

Kini, aku yakin dengan kerjaya baruku. Tambahan dia sentiasa di samping meniup cinta setia ke dalam jiwaku. Oh Tuhan, izinkan aku bersamanya hingga ke syurga-Mu.

Anak kelima kami lahir kembar. Aku memasang niat untuk menyediakan seorang pembantu bagi meringankan rutinnya. Dia menolak baik cadanganku. Memang aku akui, sekalipun terlalu disibukkan oleh kerenah anak-anak, keperluan dan layanan buatku tetap kelas pertama. Biarpun  permaisuri hatiku ini tidaklah secantik wanita lain, tapi kejernihan wajahnya sungguh menenangkan jiwaku. Mungkin wajahnya sentiasa di hiasi dengan air wuduk dan memberikan ketenangan padaku walau berdikit digigit hambatan usia. Pandanganku di luar rumah terkunci oleh kebijaksanaannya mengurus diri. Sering aku berasa mengecapi saat pengantin baru.

Tidak sempat untukku meletak punggung, sudah tiba air suam bermadu bersama senyuman manis buatku yang keletihan memerah keringat di kebun. Belum nalar sengal-sengal memukimi sendiku, tangan mulusnya tegar menjamah lantas menyahkan tekanan yang kualami seharian diterjah mentari.

Soal mentarbiah anak-anak tidak sepenuhnya kuserah kepundaknya. Demi menyeimbangkan keperluan kasih sayang dan masa depan mereka, aku betah untuk meluangkan masa emasku. Semua ini kulakukan kerana dia telah memperkenalkan dengan hikmah baitul muslim. Alangkah bertuah memiliki dirinya. Dan aku sedayanya menjadikan diriku bererti baginya. Adakala terbetik di hatiku, adakah orang lain merasai apa yang kukecapi?

Selama ini ada juga aku termakan momokan kegagalan rumahtangga melalui fail-fail kes di firma guaman temanku. Lantaran apa yang kualami sekarang menawarkan fobia yang menjelira.

Apabila ku memuji ketaatannnya terhadapku, dia membalas  dengan ucapan yang menyamankan sanubariku. Sungguh!

 “Abang, segala kelebihan dan keiistimewaan itu milik Allah yang dipinjamkan sebagai hadiah buat abang yang baik budi.”

“Semakin sayang Allah pada kita, semakin diuji iman kita kepada-Nya. Namun dirawat-Nya dengan sebaik-baik penawar, ketenangan pada hati.” Kalam yang keluar dari bibir merah itu menginsafkan aku. Betapa taqwa kepada-Nya yang mengikat kukuh cinta kami.

Sesekali kondisi tubuhku lemah, penuh kasih dia setia di sisi  bersama sentuhan saktinya hingga kurasakan tidak perlu ke hospital kerana di mahligaiku sudah ada doktor pakar.

Suatu hari dia meminta agar ku mengambil seorang wanita sebagai pembantu kami. Alasannya semata-mata ingin membantu wanita yang baru kematian suami itu menyara anak-anak yang masih kecil. Kali ini aku akur demi memenanangi hatinya. Bukan sekali dua dia menolak untuk kuhadiahkan sesuatu barang berharga di hari-hari istimewa sebagaimana yang dilakukan oleh teman-temanku terhadap isteri mereka.

Diam-diam aku mengkagumi kemuliaan akhlak yang terpancar dari dirinya. Tidak pernah dia meminta malah sentiasa berterima kasih dengan apa yang telah kusediakan. Katanya, memadailah perhatian dan penghargaanku selama menyintainya sepenuh hati. Ah, masakan tidak wahai kekasihku. Perutku memang diikat dengan air tangannya sehingga  aku tidak betah untuk makan di luar hatta sebungkus nasi lemak dan secawan kopi kecuali diundang rakan.

Kini dia puas kerana dapat membantu kak Jannah. Tugas rutinnya tetap dibereskan. Kak Jannah hanya menolong apa yang perlu. Tetapi upah untuk Kak Jannah tetap dibayar penuh atas permintaannya yang mewah dengan simpati.

Hatiku  dipanah durja bila dia menyuarakan agar aku mengawini Kak Jannah. Kali ini hatiku memberontak. Tidak sanggup untukku membahagikan kasihku biarpun dia rela. Sekali-kali tidak. Itu keputusanku. Namun tidak kusuarakan kepadanya, bimbang melukakan. Di luar sedarnya aku menyusun rancangan.

“Kak Jannah tak jadi pembantu kita selepas ni. Sebab dia telah dilamar Kamal untuk bekerja kilang menggred buah.” Wajahnya berubah tatkala kulontarkan  berita Kak Jannah.

“Jangan bimbang, kerja dia mudah tapi gaji mahal sebab Kamal pun tahu keadaannya.” Kuharap jaminan itu mampu mengendurkan kegusaran hatinya. Riak wajahnya tidak berubah. Maafkan abang Nur! Lega kerana perancanganku berjaya. Biarkan kutelan pahit dusta asal kasihku tetap miliknya seorang.

Kejayaan yang kuraih kini tidakkan terealisasi tanpa sokongan termahal darinya. Projek herba dan buah-buahan yang kami usahakan telah menembusi pasaran. Baginya  rezeki itu kurniaan-Nya. Tiada nilai jika usaha  yang sejemput itu sebagai pertaruhan bahawa ia lahir dari keringat yang tertumpah. Apa yang penting, bakti kepada tanah lebih mengeratkan hubungan sesama mkhluk. Begitu prinsip yang kugenggam selama bersamanya. Mesti kau tertanya-tanya, adilkah aku membiarkan ijazah sarjananya hanya bersimpuh di celah dokumen penting milikku? Nah, dia bebas kulepaskan memanjangkan urusan risalah Nabi. Hujahnya menobatkan lisan Rasul kuterima dengan lapang dada. “Sesiapa mengucapkan lailahaillahallah maka dia adalah pendakwah.” Betapa teguhnya keberkatan ilmu yang diburunya beberapa musim di menara gading.

Kulihat tidak ramai muslimah yang betah keluar menyampaikan ilmu setelah menyandang kerjaya isteri dan ibu. Padanya kutiup kobar dan redha di atas usaha murninya.

Cemburu? Bagaimana perasaan itu akan hadir jika hanya menampakkan dua mata bintang timurnya yang hanya mempesonakan mata dan hatiku sahaja tika penuhi tuntutan mauizah kepada masyarakat.

Perintah Allah dan Rasul sememang telah sebati dalam dirinya. Tidak perlu aku bersusah payah untuk menjelaskannya. Bahkan diriku yang kemarau ilmu Islam lebih terperinci ini tidak jemu didekatinya dengan penuh hikmah. Seingatku hanya sekali aku terlepas kata. Hanya Tuhan yang tahu betapa kesal merempuh egoku tanpa belas. Wanita sebaiknya tidak wajar dikasari.

Aku kembali mengumpul azam. Sekalipun aku pergi dulu, akan kukesani haluan langkahnya ke mana-mana syurga Allah.

Aku pasti dengan sabdaan baginda bagi isteri yang diredhai suaminya, ke atasnya hak memasuki mana-mana syurga yang disukainya.

“Abi, kenapa tak tidur lagi?” Sapaan lembuh Humairah merenggut ingatan manis itu. Dia mengucup mushof di tangan. Masih bersisa air mata di pipi tuanya. Humairah lantas memapahnya ke birai katil.

Mulut basah dengan Asma Allahul Husna.

“Abi, jangan paksa diri baca Quran sampai lemah macam ni.” Sambil tangan Humairah lincah menepuk-nepuk bantalnya lantas mendaratkan duduknya ke sisi.

“Humairah tau, abi kenangkan arwah ummi. Kalau ummi ada tentu dia sedih tengok abi macam ni.”

“Ummi bahagia di sana, abi.” Dia hanya menelan pahit kalam Humairah.

“Humairah mana Zahrah?” Dia mengangkat wajah yang kian lesu dicantas kenangan. Humairah mendapatkan kembarnya. Dia arif emosi abi sejak pemergian ummi enam tahun dulu. Walau sudah puas dipujuk abang-abangnya untuk tinggal bersama, dia tetap di mahligai yang memotretkan nostalgia mahal miliknya dan ummi.

“Abi tak tinggalkan harta dunia buat kamu berdua.”

Sesekali diselangi batuk yang mendesar. Humairah mengurut dada abinya.

“Cukuplah didikan abi dan ummi untuk kamu jadikan pedoman menjalani amanah sebagai hamba-Nya.”

Sejenak dia merenung wajah kembar seiras yang menjalin sepenuhnya kekasih hati yang meninggalkannya.” Apakala tiba saat kamu dikahwini seorang lelaki, taatlah kepadanya.”

“Redha Allah terletak pada redha suami...” bicaranya terhenti di situ. Tidak mampu lagi diungkapkan. Andai diteruskan tangan mulus Nur masih setia menggenggam jemarinya erat tika diasak duka.

Lenanya kini benar-benar menyegarkan. Bibir biru mengukir senyuman terindah seorang suami soleh yang mendambakan pertemuan abadi bersama isteri yang mendahului sekalian bidadari.

Untuk akhirnya, aku memuji kebesaran Allah di atas pertemuan dan perpisahan sementara ini. Aku puas kerana dapat meluahkan pengalamn ini kepadamu walaupun aku pasti, wajarkah tindakanku ini? Ambillah ia sebagai uswah kala memilih teman hidup. Wanita yang menjunjung al-Quran dan Sunnah berada di hadapanmu. Jangan tersilap pilih, kerana bimbang membekas sengsara di negeri kekal.

Sesudahnya titipan doa terakhirku buatnya. Terima kasih tidak terhingga kerana meluangkan cinta-Mu ya Muhaimin untukku yang fakir ini mengasihi seorang wanita hebat lagi terpelihara. Semoga wangian cintaku dan Nur akan kembali menhujani taman-taman jannah-Mu ya Illahi.


~Nurmujahiddah Solehah~

0 Komen tetamu yg baik :-):

Posting Komentar