Mencuri waktu dicelah-celah kesibukan tugas harian, menjenguk rumah pusaka nenek yang tidak berpenghuni lagi. Tua dan tersangat uzur. Tiang-tiangnya sudah tidak betah lagi untuk berdiri lama. hanya menunggu waktu.
Meninjau di sekeliling rumah, semak dengan anak-anak senduduk, kemunting dan selaput tunggul yang tumbuh melata. Di halaman, pelepah kelapa kering bergelimpangan di sana-sini. Tiada siapa yang peduli.
Sebentar mengambil waktu, berdiri di tengah laman mengutip kenangan. Cepatnya masa berlalu. Dulu di sinilah medan tempat menikmati zaman kanak-kanak bersama abang, adek, sepupu dan anak-anak jiran. Di temani ibu, ayah, datuk, nenek dan sanak saudara. Sungguh meriah.
Kemudian memanjat waktu ke usia yang semakin dewasa. Hingga dalam kedewasaan yang kian matang, kita pun semakin tahu menterjemahkan erti kehidupan, sambil bersedia menghadapinya kerana hidup ini adalah perjuangan. Segala-galanya menuntut kesabaran, kesungguhan, kekuatan, kefahaman dan tanggungjawab.
Hidup bukanlah kenangan yang datang bila diundang dan pergi bila tidak dilayan. Walaupun kenangan itu sebahagian daripada kehidupan, namun hadirnya sekadar perhiasan yang menyerikan lamunan.
Sesekali mengimbau kenangan, mudah-mudahan memberikan keinsafan di dalam diri, betapa waktu untuk kita menjalani kehidupan ini sebenarnya tidak panjang, bergerak dengan putaran yang sangat laju. Kita menonton kenangan zaman kanak-kanak di layar ingatn. Sedang hari ini kita bukan lagi kanak-kanak itu. Waktu telah melarikan kita ke dunia 'orang dewasa', 'tua' dengan pantas sekali.
Di sini, kita bukan sedang mengelamun mengimbau kenangan. Tetapi sedang membina impian dan harapan sambil meletakkan pergantungan hati yang teguh kepada Yang Maha Pencipta.
Kerana ibarat lelayang, selagi talinya tidak putus ia akan tetap tenang di angkasa. Inilah sebenarnya tujuan kita dihidupkan, menjadi khalifah yang memakmurkan bumi dengan peradaban mulia. Selain menjadi hamba yang mengabdikan diri sepenuh kepadaNya. Hamba yang takut pada kemurkaanNya kerana mengharapkan keredhaanNya. Dengan keredhaanNya menjadikan hidup ini walaupun singkat tapi amat bertuah dan bererti sekali.
Terkenang beberapa orang teman sepermainan zaman kanak-kanak dahulu yang telah pulang menghadap Tuhan. Kita pun tak terkecuali, kerana kita juga salah seorang di antara mereka yang sama-sama bermain di halaman rumah nenek suatu waktu dahulu. Kita bakal menjadi kenangan. Cuma tidak pasti sama ada kenangan indah atau sebaliknya. Kita sendirilah yang menentukan!
~Nurmujahiddah Solehah~
0 Komen tetamu yg baik :-):
Posting Komentar